Selasa, 11 Februari 2014

Konstabel Maut Kejar Penunggang Motosikal





JOHOR BAHARU – Seorang konstabel polis maut akibat kemalangan motosikal ketika mengejar seorang penunggang lelaki dalam rondaan cegah jenayah di Kampung Baru Pandan, di sini hari ini.

Dalam kejadian 2.15 pagi ini, Jucille Juin, 23, maut selepas kenderaannya bergesel dengan motosikal lelaki itu menyebabkan motosikalnya hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu jalan dan terjatuh ke dalam longkang.

Timbalan Ketua Polis I Daerah Johor Baharu Selatan Supt Abdul Wahib Musa berkata dalam kejadian itu Jucille bersama seorang lagi rakan setugas terserempak dengan lelaki berkenaan dalam rondaan bermotosikal di Jalan Loo Hong Jung.

“Jucille dan rakannya yang lengkap berpakaian seragam polis bertindak mengejar lelaki bermotosikal itu apabila lelaki terbabit memecut kenderaannya.

“Motosikal Jucille kemudian bergesel dengan motosikal lelaki itu yang menyebabkan kedua-dua mereka hilang kawalan dan mangsa melanggar tiang lampu  dan terjatuh ke dalam longkang manakala motosikal lelaki terbabit terjatuh ke atas jalan raya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abdul Wahib berkata Jucille yang mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Sultan Ismail di sini.

Beliau berkata lelaki berumur 21 tahun terbabit yang patah kaki kiri kini dirawat di hospital sama selepas ditahan rakan setugas mangsa.

Katanya Jucille yang akan menyambut ulang tahun kelahiran pada 30 Okt ini menyertai polis pada Ogos 2009 dan kejadian berlaku ketika dia dan seorang lagi anggota polis itu dalam waktu penugasan mulai 12 malam tadi hingga 8 pagi ini.

Katanya lelaki terbabit yang bekerja sebagai pembantu cef di sebuah hotel di sini didapati tidak mempunyai rekod jenayah dan bebas pengaruh dadah, namun siasatan terhadapnya sedang dilakukan berhubung motif dia melarikan diri ketika terserempak dengan pihak berkuasa.

Sementara itu, isteri Jucille, Line Marlina Stephen, 22, ketika ditemui di bilik forensik HSI berkata suaminya sempat berpesan supaya menjaga kandungan sulung mereka yang mencecah lima bulan dengan baik sebelum keluar bekerja tengah malam tadi.

“Dia (Jucille) ada beritahu rasa sengal-sengal badan dan penat, namun saya tidak sangka dia ditimpa kemalangan ini,” katanya.

Line Marlina berkata jasad suaminya akan disemadikan di kampung halaman mendiang di Kampung Mabpai, Inanam, Sabah. - BERNAMA

**Bukan gambar sebenar kejadian.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar